Inspirasi Ketamadunan

Jubah sering dikaitkan dengan masyarakat Arab yang tinggal di Timur Tengah. Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, jubah ialah pakaian baju panjang cara Arab. Yang kebanyakannya telah dipakai oleh haji dan hakim. Terdapat pelbagai bentuk jubah dari serata dunia ini. Salah satu daripadanya ialah jubah yang dipakai oleh masyarakat Islam di Asia Tengah. 

           Keunikan jubah di Asia Tengah adalah jubah ini diperbuat daripada kain yang mempunyai warna-warna yang terang. Tidak seperti di Asia Barat yang kebanyakkannya berwarna putih dan hitam. Tiap-tiap jubah merupakan pakaian yang mempunyai gaya potongan dan jahitan yang berlainan berbanding dengan potongan jubah di tempat lain. Jubah Asia Tengah dikenali dengan pelbagai nama, antaranya ialah chapan atau khalat.

             Jubah ini telah dipakai oleh golongan lelaki dan wanita Islam di sana. Jubah ini merupakan baju luar yang disarungkan ketika keluar rumah. Ia mempunyai bukaan atau belahan di bahagian hadapan bagi memudahkan pemakaian. Ia tidak mempunyai sebarang butang atau cangkuk baju. Tetapi pemakai akan menggunakan tali pinggang yang diperbuat daripada kain atau logam untuk mengikat dan menutup belahan jubah. Ia juga sering dibiarkan terbuka. 

              Daripada segi bahan, jubah ini diperbuat daripada pelbagai jenis kain seperti kain kapas, kain broked dan yang paling mahal ialah kain sutera. Salah satu teknik hiasan kain sutera yang sering digunakan bagi pakaian ini dikenali sebagai teknik ikat. Ia merupakan teknik yang sama seperti yang digunakan di Tanah Melayu dalam penghasilan kain limar. Teknik ini merujuk kepada proses pewarnaan benang sutera yang akan digunakan untuk menenun kain. Setelah benang-benang sutera selesai diwarnakan ia akan ditenun menjadi sehelai kain dengan corak tertentu. Selain kain sutera, kain kapas juga digunakan dalam pembuatan jubah ini. 

         Kain kapas kadangkala turut digunakan sebagai lapik sebelah dalam jubah. Jubah ini mempunyai beberapa jenis potongan khas, seperti potongan untuk jubah lelaki sahaja, perempuan sahaja ataupun potongan yang boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita.

No comments:

Post a Comment