REFLEKSI


NOR ALIA SYAFIKA BINTI BOSTAMAM (A146317)


          Ribuan terima kasih ingin saya mendahulukan kepada pensyarah, iaitu Puan Fatin Hazwani binti Siran yang telah memberi peluang kepada saya untuk melaksanakan tugasan Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di samping memberi tunjuk ajar dan juga ilmu tambahan spanjang sesi kuliah serta semasa menjalankan tugasan projek yang telah diarahkan iaitu penghasilan produk yang memberi sumbangan terhadap tamadun dan juga pembentangan bab dalam subjek TITAS ini.

          Semasa melaksanakan tugasan produk Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) ini, saya telah menerima banyak faedah yang berguna dan baik untuk diri saya. Kumpulan saya iaitu kumpulan WISDOM telah pun bersetuju untuk memilih “ Jubah As Solah ” sebagai produk utama kami. Selain itu juga, kami diberi tugasan bab secara berkumpulan dan mendapat topik Salah faham tentang Jihad, Dialog peradaban dan juga Pemupukan nilai-nilai sepunya. Dari situ, terjalinlah persefahaman dan juga kerjasama antara ahli kumpulan dan ia merupakan satu langkah yang baik dalam kerja berkumpulan. Setelah membuat banyak rujukan dan perbincangan bersama rakan-rakan, saya mula lebih mengenali serta memahami tentang sejarah tamadun-tamadun asia dan islam secara terperinci lagi. Melalui pembentangan dari kumpulan rakan yang lain juga, saya dapati banyak maklumat serta perihal mengenai setiap tamadun yang dibentangkan seperti tamadun melayu, cina dan india. Saya juga mula merasai kepentingan mata pelajaran TITAS ini terhadap diri saya kerana saya dapat belajar asal usul serta perkembangan tamadun agama saya sendiri. Contohnya melalui pencarian maklumat berkaitan dengan TITAS dalam sub tajuk sumbangan tamadun, saya begitu teruja dalam meneliti dan membaca setiap ilmu yang bagi saya amat bernilai ini. Melalui segala pengalaman dan ilmu-ilmu baru yang telah saya perolehi, dengan izin Allah S.W.T, saya akan praktikkan sebaik mungkin. Setelah saya banyak membuat pencarian maklumat, saya berharap ilmu ini akan terus bermanfaat kepada saya.

          Selain itu, melalui proses membuat tugasan ini yang saya laksanakan bersama rakan-rakan telah membuatkan hubungan silaturrahim antara kami semakin rapat. Sikap toleransi, bekerjasa sama, dan disiplin antara pensyarah dan semua rakan-rakan juga dapat di tingkatkan melaui proses membuat tugasan kerja ini. Saya mula lebih mengenali sikap dan sahsiah rakan-rakan dan cara pengajaran pensyarah dan hal ini sekaligus mengukuhkan hubungan dua hala kami. Tambahan pula, pengalaman berinteraksi bersama pensyarah dan rakan-rakan bagi melaksanakan tugasan ini membolehkan saya memperbaiki dan meningkatkan cara saya berkomunikasi. Hal ini sekaligus dapat melatih saya untuk berkomunikasi dengan baik dan membuat persediaan untuk menjadi seorang insan yang berkualiti.



NUR FARAHIN BINTI ABD HALIM (A146354)


          Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan bagi pembuka kata refleksi tugasan bagi subjek Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS). Saya Nur Farahin Binti Abd Halim sangat berbesar hati kerana tugasan ini telah saya siapkan dengan jayanya. Sejujurnya, semua ini tidak akan berlaku tanpa hadirnya rakan-rakan, pensyarah serta ibu dan bapa saya untuk memberikan dorongan serta galakan.

          Subjek TITAS ini telah memberi kepada saya ilmu serta faedah yang sangat berguna untuk kegunaan masa hadapan. Dari minggu ke minggu, selepas pembelajaran serta pembentangan rakan-rakan kumpulan yang lain, saya mula faham akan kepentingan sejarah tamadun-tamadun yang ada di muka bumi ini dengan lebih terperinci lagi.

          Saya sesungguhnya mengakui bahawa saya kurang suka akan subjek yang berasaskan sejarah ini. Dengan kelainan pembelajaran oleh Puan Fatin Hazwani, pensyarah subjek ini, saya telah tertarik kepada subjek ini. Bak pepatah sejarah yang terkenal, seseorang pasti akan ulangi kesilapan tanpa mempelajari sejarah. Dengan subjek ini, kita dapat mengubah diri kita serta masyarakat sekeliling kita dengan ilmu yang diperoleh.

          Bagi projek kumpulan pula, kumpulan saya telah menyiapkan sepasang jubah As-Solah. Melalui penyiapan jubah ini, hubungan silaturrahim antara kami telah bertambah erat. Kami mula memahami sikap serta kekuatan masing-masing yang telah membuatkan semua tugasan projek ini dapat disiapkan dengan pantas dan mudah. Selain itu, saya juga dapat memperbaiki kemahiran komunikasi antara saya, rakan sekumpulan, rakan sekelas dan juga pensyarah. Pengalaman interaksi bersama mereka telah melatih cara saya berkomunikasi dengan baik.



ELIDA SHAZLEEN BINTI ISMAIL (A146337)


Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Subhanu Wata’ala dan junjungan besar Nabi Muhammad kerana telah memberi peluang kepada saya Elida Shazleen Binti Ismail untuk  menyempurnakan tugasan bagi Kursus Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (TITAS) bersama rakan-rakan sekumpulan. Istilah kerja kursus begitu sinonim sekali dengan kehidupan seorang pelajar dan banyak keluhan akan kita dengar mengenainya. Namun, bagi saya semua itu adalah perkara normal dan perkara wajar yang harus dilalui oleh seseorang pelajar. Apa gunanya belajar kalau tiada kesusahan. Pengurusan masa seseorang pelajar itu adalah yang paling dominan dan signifikan bagi menyiapkan setiap tugasan yang diberikan.

Pada hari pertama kelas TITAS dimulakan Puan Fatin Hazwani telah memberikan taklimat Projek Kursus TITAS. Puan telah menerangkan tentang objektif ,kriteria dan pelaksaan tugasan. Seterusnya, saya dan rakan-rakan lain telah mencipta kumpulan seperti yang diperuntukan oleh tugasan TITAS ini. Proses pembincangan dan idea telah dilakukan oleh kami sekumpulan untuk menentukan produk terbaik yang boleh kami cipta. Idea pertama telah dicadangkan agar membuat jubah yang memudahkan untuk muslimah menunaikan solat. Setelah berbincang dengan pensyarah kami, kata sepakat telah diputus untuk membuat jubah berbentuk seluar yang memudahkan kaum muslimah menunaikan solat di samping kelebihan sampingan yang amat berguna.

Melalui subjek ini, saya merasakan bahawa kemahiran yang amat penting iaitu kemahiran komunikasi saya bertambah baik sejak akhir-akhir ini. Saya percaya kemahiran ini bertambah baik dengan adanya pembentangan berkumpulan serta perbincangan bersama rakan sekumpulan serta pensyarah kami sendiri. Hubungan silaturahim juga semakin erat tanpa kami sangka dari hari ke hari berlalu sehingga projek TITAS kami disiapkan dengan jayanya.

Akhir kata, terima kasih saya ucapkan kepada Puan Fatin Hazwani atas perkongsian ilmu, ajaran, bimbingan dan nasihat yang diberikan. Terima kasih juga kepada rakan sekumpulan kerana sudi menjadi rakan kerjasama saya dalam tugasan ini. Tidak dilupakan juga kepada rakan sekelas yang sentiasa menjadi sumber inspirasi saya, serta kepada semua pihak yang menjayakan tugasan ini, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Ribuan terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan.


NORSAPIAH ARIFFIN (A146277)


          Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kami berpeluang menjalankan tugasan yang di berikan dengan baik. Saya Norsapiah Ariffin (A146277) sebagai anggota baru dalam kumpulan pada mulanya tidak berapa faham akan tugasan yang di pilih oleh rakan sekumpulan saya. Namun di atas penerangan mereka, Alhamdulillah saya dapat berkerjasama dengan ahli kumpulan dengan baik.

          Pertama sekali menerima tugasan ini, persoalan utama yang berlegar-legar dan muncul di kotak minda saya ialah mampukah kami menyiapkan tugasan ini dalam masa yang di tetapkan. Ini kerana kami merupakan pelajar yang berlainan kos walaupun masih dalam satu fakulti. Di samping itu juga, terdapat beberapa tugasan kerja khusus yang lain yang perlu disiapkan dalam tempoh yang sama. Keadaan ini sedikit sebanyak memberi tekanan dan menguji daya tahan saya untuk melaksanakannya. Walaubagaimanapun, akhirnya tugasan ini dapat disiapkan dalam waktu yang di tetapkan.

          Selepas menyiapkan tugasan ini dengan jayanya, saya telah mengambil beberapa perkara sebagai panduan kepada diri saya untuk menempuhi cabaran pendidikan yang mendatang. Sebagai seorang pelajar dalam membuat tugasan kumpulan, kerjasama adalah penting bagi menjayakan suatu tugasan. Pada masa yang sama juga, saya akan dapat menguruskan masa dengan baik dan berkesan seterusnya mengelakkan budaya kurang sihat seperti tidur lambat hanya semata-mata untuk menyiapkan tugasan ini secara terburu-buru.

          Akhir sekali, saya bersyukur kerana dapat menyiapkan tugasan ini dengan sempurnanya. Paling penting, pengetahuan dan kemahiran yang telah saya pelajari sepanjang melaksanakan tugasan ini.


NURUL FATIN AMIRA BINTI HAMDAN (A146351)


          Alhamdulillah, dengan limpah dan kurnia-Nya dapat juga saya siapkan tugasan untuk mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) ini. Pertama sekali, saya Nurul Fatin Amira Binti Hamdan (A146351) ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah bagi mata pelajaran TITAS kelas saya iaitu Puan Fatin Hazwani yang telah banyak memberi bantuan dan tunjuk ajar kepada saya sepanjang proses saya menyiapkan tugasan ini agar menepati segala kehendak yang diperlukan.

          Kumpulan saya telah ditugaskan untuk membuat produk yang berkait rapat dengan tamadun-tamadun yang terdahulu. Pada mulanya, saya dan kumpulan saya menghadapi banyak masalah dalam mencari maklumat berkaitan dengan produk ini kerana sumber yang terhad. Hasil bimbingan daripada pensyarah, saya dan kumpulan saya telah dapat mempelbagaikan sumber kami dan mencari maklumat berkaitan dengan tugasan kami. Ekoran daripada kekurangan idea di antara kumpulan kami, proses pembincangan idea telah dilakukan dengan buku-buku yang berkaitan ketamadunan serta dari sumber internet. Akhirnya, kumpulan kami telah mengeluarkan idea untuk membuat ‘jubah as-solah’.

          Setelah itu, saya dan kumpulan telah berbincang mengenai idea tersebut dengan pensyarah. Atas perbincangan bersama pensyarah, idea baru telah tercipta. Kami bersepakat untuk menjayakan proses pembuatan ‘jubah seluar as-solah’. Saya dan kumpulan saya menjalankan analisis mengenai semua hal yang berkaitan dengan idea kami ini. Melalui tugasan ini, banyak kemahiran baru yang telah saya pelajari. Jika sebelum ini saya kurang mengambil tahu akan jenis-jenis kain yang dipasarkan, kini saya sudah tahu akan perkara tersebut. Berserta cara-cara pemotongan dan penjahitan yang telah kami lakukan sendiri tanpa campur tangan pihak pakar.

          Melalui projek ini, saya mengetahui pelbagai sejarah ketamadunan. Di samping mengeratkan hubungan silaturahim yang rapat bersama rakan sekumpulan. Dengan mempraktikkan kemahiran komunikasi bersama pensyarah serta rakan-rakan, saya akui, kemahiran komunikasi saya telah bertambah dengan baik sekali. Saya berharap agar pensyarah TITAS dapat menjalankan cara pembelajaran yang sebegini pada masa akan datang agar modal insan yang berkualiti dan berhemah dapat dipupuk.


NUR IZZATIE BINTI ISA (A146264)


            Sepanjang perjalanan melalui proses pembelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) beberapa perkara penting yang ingin saya kongsikan iaitu yang pertama adalah berkenaan projek. Projek yang saya dan rakan hasilkan adalah sebuah produk iaitu sehelai baju jubah yang telah diubahsuai mengikut fesyen masa kini dan sesuai digunakan semua lapisan masyarakat. Sepanjang proses penghasilan jubah, pertama sekali timbul idea untuk hasilkan jubah kerana ada dalam kalangan ahli kumpulan saya agak mahir menjahit dan ini memberi inspirasi kepada saya untuk belajar menjahit dengan lebih baik disamping menghasilkan produk kebolehpasaran kini melalui kemahiran menjahit. Idea pensyarah yang sangat bernas yang mana produk boleh dihasilkan melalui subjek sejarah.

            Seterusnya, subjek TITAS adalah subjek yang sangat penting dan perlu diambil perhatian oleh setiap individu bukan sahaja pelajar tetapi masyarakat di luar sana. Bagi saya tanpa sejarah kita tidak akan tahu asal usul kita juga masyarakat berbangsa lain pada masa yang sama individu atau masyarakat yang tidak bertanggungjawab akan mudah menindas mereka yang buta sejarah. Ini menunjukkan bertapa pentingnya subjek ini. Banyak tauladan dan pengajaran yang boleh saya peroleh dari subjek ini menelusuri setiap topik – topik yang dibincangkan. Kerana sejarah bukan untuk ditangisi lebih – lebih lagi diabaikan tetapi untuk dijadikan contoh tauladan supaya tidak diulang perkara yang tidak baik seterusnya mencipta semangat baru dengan jati diri yang lebih kukuh dan menjadi contoh kepada masyarakat. Pilihan di tangan masing - masing sama ada ingin tinggal menjadi sejarah atau tinggal mencipta sejarah.

            Jutaan terima kasih diucapkan kepada pensyarah yang mengajar subjek ini iaitu Puan Fatin Hazwani / Hasidah Binti Siran. Beliau banyak berkongsi ilmu yang beliau peroleh sepanjang mengajar subjek ini disamping komen – komen dan teguran yang membina. Pada pandangan saya puan perlu lebih tegas bahagian cara penyampaian para pelajar seperti kurang sopan dari segi gaya bahasa yang digunakan semasa menyampaikan mahupun menjawab pertanyaan dari pensyarah mahupun pelajar. Dengan penekanan atau penegasan dari awal dapat mengubah gaya bahasa pelajar supaya lebih sopan dan menjadi contoh kepada generasi akan datang. Pelajar bukan sahaja berani ke hadapan tetapi menyampaikan dengan penuh yakin menggunakan gaya bahasa yang sopan walaupun penyampaian kurang jelas.

            Subjek TITAS antara subjek yang memerlukan kerjasama beberapa individu dengan membentuk sebuah kumpulan. Sepanjang kerja berkumpulan kerjasama amat dirasai walaupun jarang sekali berjumpa kerana semester ini masing – masing banyak projek dan tugasan yang perlu disiapkan tetapi agihan tugasan dapat dilakukan dan dilaksanakan dengan baik. Pada masa yang sama perlunya tindakan individu di dalam kumpulan untuk bertanya, memberi pandangan, pendapat juga idea untuk membantu sepanjang melakukan tugasan dalam kumpulan. Kumpulan WISDOM memang terbaik. Sekian dari saya. Terima Kasih.


No comments:

Post a Comment